4 Jul 2021

TENGKINGAN DAN PUKULAN, MENJADIKAN KITA MANUSIA BERGUNA. IANYA SEKADAR MITOS ORANG TERDAHULU ATAU SATU FAKTA?

      


Benarkah dengan mengajar dan mendidik anak menggunakan teknik atau kaedah tengkingan serta pukulan itu dapat menjadikan anak itu sebagai seorang manusia yang berjaya di masa hadapan? Bagaimanakah kesan yang terpaksa kita hadapi pada zaman mendatang sekiranya pada hari ini kita masih menormalisasikan bahawa tengkingan dan pukulan ini yang membantu kita dalam pendidikan anak-anak? Sejauh manakah kebenaran bahawa anak hanya akan belajar jika kita memarahi mereka dan melalui fasa tengkingan serta pukulan itu adalah satu kaedah pendidikan yang terbaik buat anak?

     Sering sahaja kita dengan ungkapan bahawa, ‘Kerana pernah dipukul dahulu mengajar saya untuk menjadi manusia pada hari ini’. Ya hampir sahaja majoriti rakan sebaya kita mengatakan kebenaran tersebut kan? Kerana masyarakat kita terlalu memandang bahawa seseorang itu hanya akan belajar kesialpan mereka jika melalui pukulan dan tengkingan. Bukan sahaja jika seseorang itu melakukan kesilapan, malah pada saat ingin mengajar anak juga masyarakat dulu lebih sennag untuk mengajar anak beserta tengkingan, pukulan, makian dan juga herdikan. Kononnya, dengan kaedah itu anak lebih takut dan mudah atuh serta mudah untuk anak mengingati apa yang dipelajarinya.

     Pandanglah pada sudut bahawa anak itu bukan sekadar mengingati apa yang TERpaksa dia pelajari malah anak tersebut juga akan sentiasa MENGINGATI setiap patah perkataan hinaa,cercaan dan makian yang kita keluarkan buat mereka. Belum lagi yang benar-benar merotan anak hanya kerana anak itu tidak berjaya mengingati sifir. Majoriti hampir 90% yang mana dibesarkan dengan tengkingan, herdikan, pukulan, hinaan, cacian serta makian mengalami masalah pada emosi. Mereka yang dibesarkan dalam suasana seperti itu lebih terjerumus pada masalah kemurungan, dan lebih mudah tertekan. Individu yang dibesarkan dalam keadaan sebigini juga lebih mudah unuk melenting dan tidak mampu menahan amarah mereka. Terdapat juga individu yang berdendam, menyimpan dendam pada ibu bapa yang membesarkan mereka sebegitu. Keberangkalian rantaian ini akan terus berterusan serta berlaku kepada generasi seterusnya jika kita tidak mencegahnya pada generasi kita pada hari ini.


 

·         Kenapa tidak boleh memukul anak?

Baiklah, ada juga yang mengatakan kepada saya,

‘Kenapa kita tidak boleh memukul anak,sedangkan saya membesar juga dengan dipukul apabila melakukan kesalahan, dan dengan pukulan itu menjadikan saya seorang manusia pada hari ini. Saya seorang yang berjaya kerana ibu bapa saya sangat tegas dan sering merotan kami sekiranya kami tidak mahu belajar. Bukankah kaedah itu satu cara untuk mendidik? Bagaimana anak akan tahu mereka melakukan kesilapan sekiranya mereka tidak dipukul dan dimarahi?’.

Benarkah dengan pukulan malah tengkingan itu menjadikan seseorang manusia itu Berjaya?

Tahu dan sedarkah kita bahawa:

-          Pada 7 tahun pertama umur anak ianya dikira sebagai ‘golden age’. Dan pada waktu ini otak kanak-kanak berkembang sebanyak 60%.

-          Yakinkah kita bahawa anak-anak yang dibesarkan dengan tengkingan serta pukulan ini tiada masalah pada emosi mereka?

-          Apakah ‘core memory’ kita tentang tengkingan serta pukulan yang kita lalui terdahulu?

-          Adakah sanggup untuk kita membiarkan anak kita membesar bersama luka dan parut yang berbekas di minda serta jiwa mereka malahan menganggu kestabilan emosi mereka?

-          Anak yang dipukul mereka tidak faham kenapa mereka dipukul dan akan mengulangi kesalahan yang sama walau dipukul berkali-kali.

-          Anak yang sering dipukul kurang keyakinan terhadap diri sendiri.

-          Tengkingan dan pukulan juga meninggalkan kesan kepada kesihtaan mental yang sangat mendalam. Anak tersebut mungkin mengalami trauma atau tekanan seumur hidup.

Percayalah bahawa  tengkingan dan pukulan memberi impak yang sangat mendalam terhadap fizikal dan emosi anak. Dalam otak kita mempunyai 100 milion saraf neuron yang dikenali sebagai ‘gray matter’. Apakah ‘gray matter’ ini? Ia merupakan satu bahagian tisu yang menghubungkan antara sel-sel didalam otak. Ianya memproses segala maklumat  untuk sampai kepada otak. ‘Gray matter’ juga penyumbang terbesar dalam melengkapkan IQ anak sebanyak 95%. DAN, tahukah anda ianya boleh berkurang atau terputus sel tisu ini hanya disebabkan oleh tengkingan.

Maka, yakinkah kita dengan tengkingan dan pukulan itu mampu melahirkan anak yang seimbang dari segi IQ dan EQ? bagaimana mungkin kita dengan bangganya menyatakan bahawa melalui tengkingan dan pukulan itu menjadikan kita manusia yang berguna pada hari ini? Lihatlah kedalam diri kita dan nilailah sendiri. Adakah kita dibesarkan dalam suasana yang sungguh harmoni tanpa ada tengkingan dan pukulan? Jika ya, tahniah. Kerana segelintir golongan ini akan mendidik anak mereka juga tanpa perlu menengking dan memukul anak, malah hanya hal-hal yang positif sahaja yang mereka akan berikan kepada anak. Adilkah kita sekiranya kita membesarkan anak dengan pukulan dan tengkingan sedangkan kita tidak melalui fasa tersebut? Manakala buat yang melalui fasa membesar dalam suasana saban hari dimarahi, diherdik, dihina, dicaci, ditengking malah dipukul, mahukah kita generasi anak kita juga membesar tanpa ada rasa simpati kepada makhluk lain?

Untuk melahirkan generasi yang lebih baik, kita sewajarnya malah wajib untuk kita meruntuhkan sekaligus memusnahkan rantaian legasi hanya dengan pukulan dan tengkingan itu anak akan jadi manusia. Bagaimana mungkin dengan pukulan itu menjadikan seseorang manusia itu mempunyai jiwa untuk menyantuni manusia lain sedangkan mereka dibesarkan dalam suasana yang penuh kebencian?

‘Lembu yang saban hari itu dipukul tidak ada yang menjadi manusia’ – Teacher Ina,  Founder Taska Fantasia Alam. Maka, fahamlah kita bahawa tengkingan dan pukulan itu hanya satu perkara yang sia-sia. Ianya memberi kesan seumur hidup anak. Dapatan kajian daripada American Academy of Paeditrics, manusia yang dibesarkan dalam suasana yang sering dipukul serta dimarahi dan ditengking mempunyai :

·         Perangai yang sangat negatif

·         Sifat yang aggresif

·         Mudah melenting

·         Tidak sabar

·         Tidak boleh menerima nasihat serta arahan

·         Mudah menyimpan dendam

·         Tidak mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri

·         Mempunyai masalah kesihatan (mental)

·         Tidak mampu mengawal tekanan emosi

·         Sentiasa mengalami kemurungan

Ini bukan hanya semata kajian dari American Academy ya. Saya juga membuat kajian sendiri terhadap 20 orang responden bagaimana mereka melalui kehidupan mereka pada hari ini hasil dari tengkingan dan pukulan ketika mereka masih kecil. Tengkingan dan pukulan hanyalah satu perkara yang tidak langsung memberi manfaat kepada ummat sejagat bahkan ianya memberikan satu perkara yang negatif kerana anak yang dipukul itu menjadikan kita iaitu ibu bapa mereka sebagai ‘role model’. Jika mereka belajar bahawa kesilapan dapat diperbaiki serta diperbtulkan hanya melalui pukulan, maka mereka juga belajar untuk tidak bertoleransi dalam kehidupan. Anak yang dibesarkan dengan suasana dipukul itu keberangkalian untuk mereka melakukan hal yang sama kepada generasi yang seterusnya juga tinggi. Kenapa? Kerana mereka merasakan dengan pukulan dan tengkingan itu satu kepuasan buat diri mereka hasil dari sentiasa ditengking dan dipukul. Mereka juga mula belajar untuk tidak menghormati hak orang lain.

Tengkingan serta pukulan juga menjadikan anak itu mudah takut dan trauma untuk berdepan dengan persekitaran mereka. Mereka merasakan sekeliling mereka itu tidak selamat dan perasaan mereka juga tidak dapat dikawal sekiranya suasana di sekeliling mereka itu terlalu bising dan bingit.

Sekiranya kita merasakan Pendidikan barat ni tidak bersesuaian dengan Pendidikan kita yang dikenali sebagai ‘Asian Parents Style’, sedarkah kita bahawa dalam Islam, Pendidikan anak-anak yang telah digariskan oleh Nabi Muhammad S.A.W :

-          Kesalahan anak hndaklah kita tangani dengan sifat dan sikap yang penuh berhemah, lemah lembut serta penuh sifat ihsan terhadap anak.

Sering kali bukan kita mendengar ungkapan bahawa ibu bapa merupakan contoh dan tauladan yang terbaik buat anak? Yakni ia juga membawa kepada  maksud, bahawasanya ibu bapa merupakan  madrasah terpenting untuk anak belajar erti penghidupan dan kerana corakan dari ibu bapa itulah penentu anak punya pembentukan emosi pada masa akan datang. Ibu bapa seharusnya sentiasa belajar untuk memperbaharui ilmu tentang mendidik anak agar dapat dijadikan contoh serta teladan yang baik dan benar buat anak. Anak membesar dengan penuh kasih saying dari ibu bapa sekiranya mereka tidak punya rasa takut dek kerana persekitaran yang tidak harmoni di rumah sendiri.

 

Bagaimana untuk menjadi tauladan yang baik buat anak? Mulakan dengan kita sebagai ibu bapa yang menyantuni anak, berlemah lembut, serta berhemah dalam pelbagai urusan jua perilaku harian. Kita juga seharusnya mengenali sikap serta sifat anak sebelum menjatuhkan hukuman buat mereka. Setiap anak tidak sama jiwanya, tidak sama pemikirannya, tidak sama tinggi IQnya malah EQ juga berbeda walau dilahirkan dan dibesarkan oleh ibu bapa yang sama. Berlaku adillah dalam menjatuhkan hukuman kepada anak, jika ternyata benar mereka melakukan kesilapan maka hakimi mereka seadilnya.

 

‘Daripada Abu Daud &  Al-Hakim bahawasanya telah diriwayatkan daripada Umar Bin Syua’ib daripada ayahnya serta daripada Datuknya, Rasulullah S.A.W telah bersabda, ; Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan sembahyang ketika umurnya tujuh tahun, dan pukullah mereka kerana mereka meninggalkan sembahyang saat mereka telah mencapai umur sepuluh tahun dan pisahkanlah mereka dari tempat tidur’.

Jelaskan pada pengamatan kita bahawa bukanlah tidak langsunf dibenarkan memukul anak untuk mengajar mereka, tetapi Islam sendiri sudah jelas menggariskan panduan buat kita. Bahkan didalam pendidikan tentang solat untuk mengenal dan beribadat kepada tuhan yang satu itu pun, kaedah memukul hanyalah perlu dilakukan setelah kita mengajar anak solat pada usia mereka tujuh tahun. Pukulan hanya bermula setelah mereka mencecah umur sepuluh tahun. Itu pun hanya pada bahagian tertentu sahaja. Refkelsi kepada diri kita, adakah kita mampu bertahan dan sabar mengajar anak tanpa memukul mereka saat mereka melakukan secebis cuma kesilapan?

Berzaman sudah mengajar anak solat tetapi menakutkan mereka tentang azab Allah, adakah pendidikan itu berjaya? Didiklah anak untuk mengenal Allah, ceritakanlah kepada mereka tentang betapa kasihnya Allah buat mereka yang beribadah kepadaNya. Hentikanlah generasi menakutkan anak tentang azab Allah sekiranya mereka meninggalkan solat. Ceritakanlah hal yang terindah tentang tuhan yang Esa itu. Agar anak mengenali sang pencipta serta Rabbul Izzah mereka yang penuh kasih sayang serta mengasihi makhluk seluruh alam.

 

Apakah perasaan kita sekiranya anak mengulangi kesilapan kita hasil dari kita yang selalu menengking mereka? Sudah tentu kita merasa sedih dan kecewa bukan? Sekiranya kita terbiasa mendidik anak dengan cara memukul, mereka juga melakukan hal yang sama kepada kita serta adik beradik mereka yang lain? Jika anak masih kecil, masih belum terlambat untuk melakukan perubahan dalam kehidupan kita. Mulakanlah dengan membelai, menyantuni, mengasihi serta menghormati anak agar mereka juga melakukan hal yang sama buat kita. Manakala, jika anak sudah dewasa, mulakanlah langkah dengan meminta maaf kepada mereka serta mengakui segala kesialapan kita. Tidak perlu merasakan kita yang tua ini terlalu sempurna, tidak terhinanya darjat sebagai ibu bapa sekiranya meminta maaf kepada anak tentang kesilapan kita membesarkan mereka suatu ketika dahulu. Yang tua dihomati, yang muda disayangi.

‘Emotional spanking is NOT a myth’ – Teacher Ina, Founder TFA.

Hentikanlah budaya mendidik anak dengan cara memukul dan menengking. Bermula dengan kita pada hari ini, untuk memutuskan rantaian cara pendidikan yang telah berakar umbi dari generasi terdahulu.

Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadis riwayat pernah berkata: ‘Sesungguhnya, setiap anak yang dilahirkan kedunia ini dalam keadaan suci (fitrah,Islam). Dan kerana kedua orang tua mereka itulah, anak itu menjadi seorang yang beragama Yahudi, Nasrani ataupun Majusi’.

Jelaslah kita disini bahawa, cara pentadbiran pendidikan anak ini bisa berubah dek kerana bagaimana cara kita mendidik mereka. Maka, kita seharusnya sebagai ibu bapa era kini harusnya mencorakkan langkah yang lebih baik demi masa depan anak-anak kita. 


Love,

Seorang mama yang masih belajar untuk sabar


 

0013

3 October 2020